Thursday, August 25, 2011

Hidup di dunia hanya sementara

Pagi tadi aku sedang berjalan menuju ke sekolah. Dari jauh lagi aku ternampak seorang budak perempuan yang sungguh comel dipimpin oleh ibubapanya. Pastinya budak itu akan ke sekolah kerana dia memakai seragam sekolah sera membawa beg sekolahnya. aku tersenyum sendiri kerana pastinya kebahagian sepasang suami isteri itu semakin membuak jika mereka mempunyai seorang anak perempuan yang sungguh comel. Itu yang terdetik di hatiku. Apabila aku semakin mendekati mereka, hatiku bagai gelas terhempas ke kaca ketika ternampak ayah budak perempuan itu menghisap rokok tanpa segan silu pada bulan yang suci ini. aku yakin mereka dilahirkan Islam. Namun, sedih sungguh bila ternampak kelakuan ayah budak itu.
Bagaimanakah dia mampu menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab jika tanggungjawab sebagai seorang Islam pun beliau abaikan.
Bagaimanakah dia mampu menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab jika rukun agama pun dia perlekehkan.

Aku teringat akan pelajar-pelajarku yang pernah datang kepada ku dengan raut muka kesedihan.
"cikgu, saya rasa tersisih kerana saya tidak tahu solat ketika solat Jumaat. Ayah seorang Islam, ibu pula menganuti Islam apabila berkahwin dengan ayah tetapi mereka tidak pernah solat." Aku ingat dengan jelas bagaimana aku menangis penuh kesedihan bila aku pulang ke bilik guru selepas itu.
Baru-baru ini pula, seorang budak lelaki kelas mentorku meminta bantuan gurunya untuk mengajarnya cara untuk solat. Kakaknya pula berada di dalam kelasku dan dua hari yang lalu, dia bertanya di hadapan rakan-rakannya. "Cikgu, apa itu Lailatul Qadr? Ibu bapa saya menerangkan kepada saya tetapi saya tidak memahaminya." Aku terus menerangkan kepada kelas makna disebalik hari istimewa itu. aku juga tekankan kepentingan bersolat.
Dengan pantas, dia berkata lagi, "Cikgu, saya tidak tahu sembahyang. Muka ayah saya berubah apabila adik saya membawa balik buku Mari Sembahyang yang cikgu hadiahkan kepadanya."
Aku terdiam dan tidak tahu bagaimana untuk respons akan kenyataannya itu. Loceng berdering dan mereka pun bersurai.
Aku terfikir jika apa yang aku lakukan itu salah. Murid tersebut meminta bantuan, aku sekadar menolong. Namun, jika bapa budak itu terluka atau marah, adakah aku berdosa? Keliru.

Aku berjanji pada diriku supaya mendidik anak-anakku pada masa hadapan ini untuk mementingkan pembelajaran ukhrawi juga dan bukan hanya mementingkan pembelajaran duniawi sahaja. Hidup di dunia sementara tetapi hidup di akhirat itu berkekalan. Seringkali, manusia terlupa akan kenyataan tersebut.

Tuesday, August 23, 2011

Pantun Lucu Anak-anakku

Saya mendayung, dayung sampan,
Rasa seperti sungguh berkuasa.
Saya memang hendak makan,
Tetapi saya sedang berpuasa.

 
Semut merah di dalam pantat,
Harus keluarkan hingga berjaya.
Saya mengidam makan ketupat,
Nampaknya harus tunggu raya!


Dua rangkap pantun ini memang tampak lucu dan mungkin juga lucah. Namun, aku bersyukur kerana anak-anak muridku dari aliran teknikal mampu untuk menghasilkan pantun-pantun ini. Kadang-kala, hanya dengan unsur-unsur lucu begini, para pelajar dapat mempelajari sesuatu dengan lebih mudah. Aku bersyukur kerana kini, sedikit sebanyak, para pelajarku dari aliran normal teknikal sudah mampu untuk menghasilkan pantun.

Monday, August 15, 2011

Blog ini telah lama aku cipta. Namun, dari hari ke hari, disebabkan terlalu banyak komitmen, aku terlupa akan blog ini. Walaupun begitu, kadang-kala, aku masih berkarya kerana menulis merupakan sebahagian hidupku. Aku menulis bila aku kesepian, kesedihan, bila aku menemui kebahagiaan, bila aku dambakan sesuatu dan dalam pelbagai detik-detik kehidupanku. Aku harap, kali ini, aku tetap akan berada di sini. Berkarya dan meluahkan pandangan, sekaligus, mempertajamkan lagi penggunaan bahasa Melayuku. Sebagai seorang pendidik, aku yakin bahawa ini akan mendatangkan banyak kemaslahatan. Aku telah memberanikan diri untuk memaparkan identitiku dan memberitahu semua akan kewujudan blog ini. Aku juga membenarkan sesiapa sahaja untuk komen tentang karyaku. Ini kerana, aku percaya, jika niat kita murni, tuhan akan melindungi niat kita itu.
Selamat menjalani ibadah puasa..