Thursday, October 13, 2011

Teknologi- memudahkan tetapi juga menghakis keikhlasan?

Teknologi telah membawa banyak kemaslahatan pada manusia. Cara berkomunikasi dikatakan lebih mudah, dari itu hubungan sesama manusia menjadi lebih erat. Namun, dalam kemudahan berhubung sesama sendiri, masihkah hadir keikhlasan atau ketulusan di dalam hubungan tersebut? Sebagai contoh, lelaman social Facebook telah memudahkan penggunanya untuk mengingati tarikh lahir rakan mereka. Pengguna-pengguna mampu untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada rakan mereka tanpa khuatir jika mereka terlupa akan tarikh tersebut. Natijahnya, adakah rakan kita itu ingat akan tarikh lahir kita atau hanya mengucapkan kerana Facebook telah ‘mengingatkannya’?

Beberapa hari yang lalu merupakan tarikh lahir rakan baik saya semasa di sekolah menengah. Dari hari ke hari, hubungan kami semakin renggang disebabkan oleh kesibukan masing-masing mengejar impian ke menara gading. Namun, tarikh 10 Oktober itu tidak akan saya lupakan. Lantas, apabila harinya tiba, dengan pantas saya memasuki akaun Facebook saya untuk ke ‘dindingnya’ dan mengucapkan selamat hari lahir. Namun, saya terkejut apabila mendapati tiada pengguna yang lain yang mengucapkan selamat hari lahir padanya dan ‘dindingnya’ pula ‘melarang’ saya dari menulis apa-apa pun. Saya bingung dan membelek diari. Tercatit namanya di ruangan 10 Oktober. Saya yakin bahawa saya tidak tersalah lihat. Dari itu, saya mencapai telefon bimbit dan menaip sebuah pesanan ringkas untuknya.

“Selamat Hari Lahir.. Aku cuba untuk mengucapkan selamat hari lahir padamu di ‘dinding’ Facebook kau tetapi aku tidak diberi keizinan. Aku harap kau dalam keadaan sihat dan sentiasa bahagia di samping orang tersayang.”

Beberapa minit selepas itu, telefon bimbit saya bergegar dan beliau membalas pesanan ringkas saya yang membuat saya terfikir sejenak.

“Terima kasih. Aku memang ‘melarang’ sesiapa sahaja untuk mengucapkan selamat hari lahir padaku di ‘dinding’ Facebookku. Ini kerana, aku ingin lihat siapa yang benar-benar ikhlas untuk mengucapkannya dan sanggup menelefon atau menghantar pesanan ringkas kepadaku. Aku tahu kau memang ikhlas dan walaupun hubungan kita memang tidak seerat dahulu, aku tahu aku sering ada dalam benak fikiranmu. Kau memang kawan sejatiku.”

Saya tersenyum dan mula berfikir. Memang benar apa yang dia katakan. Mungkin kewujudan teknologi telah memudahkan kita tetapi pada masa yang sama, keikhlasan atau ketulusan seseorang juga telah mula terhakis.

Renung-renungkanlah.

Saturday, October 08, 2011

Cerpen Sebatang Pohon di Tengah Padang (Realiti Kehidupan)

Muhasabah diri dari Cerpen Sebatang Pohon di Tengah Padang

Oleh Seno Gumira Ajidarma


1) Pentingnya untuk meninggalkan ilmu untuk generasi seterusnya
- Ibarat kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama


2) Menabur bakti pada dunia
- Tiada lain yang dapat kita lakukan pada dunia yang menjadi teduhan dalam kehidupan kita selain daripada menabur bakti serta membantu sesama manusia


3) Kehadiran sebuah masalah itu mampu untuk mendatangkan kemaslahatan pada diri kita
- Mengajar erti kehidupan
- Sikap optimistik harus selalu diamalkan supaya kebaikan dapat dirangkul daripada kehadiran masalah


4) Masalah yang bertali arus merupakan lumrah kehidupan
- Apakah mungkin erti kehidupan tanpa cabaran?


5) Cabaran dapat membuat manusia lebih matang dan bersemangat kuat


6) Dalam perjalanan menuju kejayaan, pasti ada kehadiran mereka yang ingin melunturkan usaha atau semangat kita.


Wednesday, October 05, 2011

Bunga Mawar Mekar

Bunga mawar mekar
Harumannya menghairahkan
Menambah seri kehidupan
Mengindahkan hari-hari suram

Bunga mawar mekar
Jangan noda kecantikkannya
Usah jejas keharumannya
Elak dari digodanya

Bunga mawar mekar
Cacatnya tidak kelihatan
Melainkan bila disentuh
Durinya sangat mebisakan
Bunga mawar mekar
Bila masanya nanti
Akan jadi milikmu
Menghiasi sanubarimu
Memuja jiwamu